Selamat Datang Ke Laman Sesawang Bajet Terengganu 2017


BELIA & SUKAN





Petikan Pembentangan Bajet Terengganu 2017 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Haji Ahmad Razif Abd Rahman :

Pembangunan Belia & Sukan

Kita perlu terus Bersama Melangkah ke Hadapan.
114. 40% penduduk adalah terdiri daripada golongan belia. Golongan belia merupakan harapan dan aset penting kepada Negara. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara. Merekalah generasi yang bakal menerajui pemerintahan Negara, menjadi tonggak dan nadi utama dalam merealisasikan wawasan Negara serta menjaga kedaulatan tanah air tercinta.

115. Sejajar dengan ini, pelbagai aktiviti dan program telah diatur bagi tahun 2017 khususnya untuk golongan belia. Program ini bukan sahaja berteraskan sukan semata-mata tetapi turut mengambil kira pembangunan kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM65.7 juta untuk portfolio Belia dan Sukan, satu jumlah yang besar untuk golongan belia dan aktiviti sukan di Negeri Terengganu.


116. Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan Program Dana Bakti Remaja. Bagi tujuan ini, sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan sekaligus memberi manfaat serta kebaikan kepada 100,000 belia di Negeri Terengganu.

117. Bagi tujuan bantuan pentadbiran kepada Persatuan Belia,Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM 5,000 bagi semua cawangan Persatuan Belia yang aktif dan berdaftar dengan Majlis Belia Negeri Terengganu. Sebanyak 431 Persatuan Belia yang aktif akan mendapat manfaat daripada bantuan ini.

118. Bagi membantu belia-belia kampung yang berminat untuk menjadi pemandu jentera berat sebagai satu kerjaya, Kerajaan Negeri akan memberi peruntukan sebanyak RM100 ribu. Program khusus akan diwujudkan untuk membantu mereka mendapatkan lesen memandu jentera berat seperti bas, lori, traktor, bot besar dan lain-lain yang berkaitan.

119. Kerajaan Negeri sedar kekangan dan masalah yang berlaku dikalangan graduan Terengganu yang sukar untuk mendapat kerja. Kerajaan Negeri akan mewujudkan 1 unit khas untuk membina database graduan mencari kerja (ala jobstreet) (dengan izin) khas untuk anak Terengganu mencari dan merebut peluang pekerjaan di Negeri sendiri.

120. Latihan kepimpinan belia akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan adanya Darul Iman Training Center (DITC) di Kemaman. Malah, Kerajaan Negeri juga akan memperkasa DITC dengan menggunakannya secara optimum bagi mengadakan kursus-kursus perubahan minda dan jati diri, termasuk kursus kepada penjawat awam dan guru-guru di Terengganu. Peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta telah dikhaskan pada tahun hadapan bagi tujuan pembangunan Fasa Kedua DITC. Kursus ini dijangka akan memberi manfaat kepada 28,800 penjawat awam di Terengganu setahun.

121. Kerajaan Negeri ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana telah memilih Terengganu International Endurance Park (TIEP), di Lembah Bidong, Setiu sebagai venue (dengan izin) utama bagi penganjuran acara Sukan Berkuda Endurance (dengan izin) bersempena dengan Sukan SEA pada bulan Ogos, 2017. Ini merupakan satu pengiktirafan yang besar kepada Negeri Terengganu khususnya TIEP yang merupakan Pusat Sukan Kuda Endurance (dengan izin) yang terbaik di Malaysia.

Tahniah dan Syabas diucapkan.

122. Kerajaan Negeri juga bercadang untuk mewujudkan Hari Bebas Kereta atau Car Free Day (dengan izin) di laluan - laluan terpilih. Hari tersebut akan digantikan dengan acara seperti Hari Berbasikal, Fun Run, Walkathon bersama keluarga secara berkala. (dengan izin). Kerajaan Negeri sangat berbangga dengan penyertaan peserta dalam Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud. Lebih 50 ribu peserta dalam dan luar negara telah mengambil bahagian.

123. Dalam bidang sukan, Terengganu terus mencipta nama dengan beberapa siri kejayaan bukan sahaja di dalam negara malah juga di peringkat antarabangsa. Izinkan saya untuk berkongsi beberapa cerita kejayaan (success stories) (dengan izin) dalam bidang sukan.

124. Kerajaan Negeri ini mengucapkan tahniah kepada pasukan hoki Negeri Terengganu yang telah berjaya menjadi Juara Hoki Piala Tun Razak 2016 pada bulan Mei yang lalu.

125. Kita juga berbangga dengan kejayaan Mohd Azizulhasni Awang, anak jati Dungun yang memperoleh pingat gangsa acara keirin iaitu pingat pertama Negara dalam acara berbasikal dalam Sukan Olimpik.


126. Satu lagi kejayaan dalam bidang lumba basikal ialah kejayaan pasukan Terengganu Pro-Cycling Team (TSG) (dengan izin) mengungguli pentas dunia. TSG kini berada di ranking ke 7 Asia dan 90% pelumbanya adalah anak Terengganu. Mereka kini adalah pelumba profesional yang mampu menjadikan sukan berbasikal sebagai satu kerjaya dengan pendapatan yang lumayan.

Hebat Terengganu!

127. Kerajaan Negeri juga bangga dengan pencapaian kontinjen SUK Terengganu ke Kejohanan Sukan SUK Se-Malaysia di Johor baru – baru ini, yang mana kontinjen SUK Terengganu telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan.

Tahniah di atas semua kejayaan ini.

 

Contact Form

Name

Email *

Message *