Selamat Datang Ke Laman Sesawang Bajet Terengganu 2017


KESIHATAN





Petikan Pembentangan Bajet Terengganu 2017 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Haji Ahmad Razif Abd Rahman :

Sektor Kesihatan

Kita perlu terus Bersama Melangkah ke Hadapan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman)”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

174. Bagi meningkatkan taraf kesihatan dan memelihara rakyat daripada jangkitan penyakit atau wabak, Kerajaan menggariskan 3 touch points berikut (dengan izin) :

175. Pertama - Kempen Kesedaran Basmi Denggi dan Perangi Zika. Kerajaan komited dalam usaha mengekang Wabak Denggi dan Zika daripada merebak.

Oleh kerana persekitaran yang bersih dapat membantu dari tersebarnya wabak ini, maka Kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk Program Gotong- Royong Perdana yang akan dilaksanakan di seluruh Negeri melibatkan 162 mukim.

176. Kedua - Mewujudkan Pusat Perlindungan Gelandangan dan Orang Kurang Waras Serta Pusat Warga Emas

Kerajaan melihat perlunya dibina Pusat Perlindungan Gelandangan dan Orang Kurang Waras di Terengganu sebagai tempat perlindungan bagi orang yang memerlukan. Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM500 ribu untuk Pusat ini di samping bantuan dan input kewangan dan teknikal daripada pihak MAIDAM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Selain itu, Kerajaan juga berhasrat untuk menubuhkan Pusat Warga Emas di Teluk Ketapang.

177. Ketiga Membina Pusat Hemodialisis

Kerajaan Negeri amat peka dan prihatin dengan keperluan rakyat yang mengalami masalah buah pinggang. Justeru itu, Kerajaan akan mewujudkan tiga Pusat Hemodialisis iaitu di Telaga Mengkudu, Marang, di Hulu Terengganu dan di Seberang Takir. Dijangkakan, seramai 3 ribu orang akan mendapat manfaat menerusi penubuhan 3 Pusat ini dengan peruntukan sebanyak RM6 juta.

178. Keempat – Tabung Darul Iman

Bagi membantu meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan, Kerajaan telah menubuhkan Tabung Darul Iman (TDI). Penubuhan TDI ini adalah bertujuan mengurus dan menyelaras bantuan-bantuan dengan lebih sistematik dan efisien. Bersesuaian dengan slogan TTB “Kecil Bagi Kita, Besar Bagi Rakyat”, tabung ini dapat membantu rakyat yang mengalami musibah seperti bencana alam, bantuan perubatan, bantuan sara diri tahunan, bantuan susu dan lampin pakai buang. Sehingga Oktober 2016 melalui sumbangan Kerajaan dan orang ramai, seramai 3,456 orang telah menerima bantuan daripada TDI yang melibatkan kos lebih RM5 juta.

179. Kerajaan Negeri sedar akan beban yang terpaksa ditanggung rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah, berikutan kenaikan harga barangan asas. Untuk itu, Kerajaan Negeri dengan ini bercadang mengadakan Program Terus Tukar Baucer (TTB) dengan memberi baucer kepada penerima bantuan JKM dan MAIDAM bagi mereka mendapatkan barangan asas dengan potongan harga di pasaraya – pasaraya yang terlibat dalam program ini.

Saya dengan ini menyeru semua yang berkemampuan tanpa mengira parti untuk sama-sama menyumbang kepada program ini dan menyumbang kepada Tabung Darul Iman.

 

Contact Form

Name

Email *

Message *