Selamat Datang Ke Laman Sesawang Bajet Terengganu 2017


PEKERJAAN




Petikan Pembentangan Bajet Terengganu 2017 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Haji Ahmad Razif Abd Rahman :

Sektor Pekerjaan

Kita perlu terus Bersama Melangkah Ke Hadapan.

128. Bagi meningkatkan keupayaan kapasiti modal insan, Kerajaan Negeri perlu menyediakan dan memberi lebih banyak kail dan bukannya ikan. Kerajaan Negeri dengan ini bercadang untuk menyediakan kursus-kursus kemahiran jangka pendek dalam bidang – bidang seperti gunting rambut, menjahit manik dan seumpamanya untuk belia-belia. Setelah tamat kursus, peserta akan diberi start up kit (dengan izin) untuk memulakan perniagaan termasuk perniagaan dari rumah ke rumah. Sebagai perintis, RM150 ribu akan diperuntukkan bagi menjalankan program ini.

129. Bagi golongan belia yang berminat dalam sektor pertanian dan bercadang untuk menjadikan bidang ini sebagai profesion, Kerajaan Negeri memutuskan untuk membantu mereka dengan menyediakan tanah-tanah kerajaan terbiar untuk dijadikan tapak pertanian secara Lesen Menduduki Sementara (LMS).


130. Bagi membantu golongan ibu tunggal, Kerajaan Negeri dengan ini meneruskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membuka lebih banyak peluang pinjaman perniagaan. Dianggarkan lebih 1,000 ibu tunggal bakal mendapat manfaat daripada peruntukan ini yang akan diuruskan oleh YPKT.

Ruang Perniagaan dan Keusahawanan

131. Bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, Kerajaan Negeri akan menyediakan lebih banyak ruang perniagaan. Pembinaan ruang-ruang perniagaan ini akan dilaksanakan di Pasar Pekan Seri Langkap, Setiu, Pasar Besar Dungun, Unit Kedai di Pulau Kekabu, Marang dan Projek Perdagangan dan Perindustrian di semua PBT. Sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan bagi tujuan ini.

132. Dalam konteks yang sama, Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan sebuah „Pasarnita‟ iaitu kawasan tapak niaga


kekal untuk usahawan wanita yang pertama di Malaysia. Kerajaan Negeri berharap ini akan menjadi pendorong kepada para usahawan wanita Terengganu untuk lebih berjaya dalam bidang keusahawanan.

133. Pembangunan Keusahawanan merupakan faktor terpenting dalam meningkatkan dan melonjakkan ekonomi bumiputera khususnya. Perancangan program dan aktiviti tahun 2016 turut mengambil kira pembangunan produk usahawan tempatan. Program Pembangunan Produk bertujuan membantu usahawan kita dalam pembungkusan dan pelabelan. Selain itu, menerusi Program Persijilan Halal/ Good Manufacturing Practice (GMP) (dengan izin), usaha ini dapat meningkatkan imej dan kualiti produk yang dihasilkan di Terengganu kerana menepati piawaian. Bagi meningkatkan hasil jualan melalui inovasi pembangunan produk, Kerajaan Negeriakan memperuntukkan RM400 ribu.

Kemudahan Skim Dana Usahawan

134. Dalam memulakan perniagaan, modal merupakan elemen yang sangat penting. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM3 juta di bawah skim pembiayaan, khususnya bagi membiayai Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF), Pinjaman Usahawan Desa, Skim Pinjaman 'Business Online' dan Skim Pinjaman Kecil. Program Usahawan Graduan Terengganu (PUGT) turut diperkukuhkan lagi dengan peruntukan sebanyak RM1 juta dalam tahun 2017.

135. Bagi mewujudkan Program Transformasi Gerai Desa di seluruh Terengganu, Kerajaan akan memperuntukkan RM3.36 juta kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

136. Sebanyak RM1.6 juta akan diperuntukkan bagi menjalankan program-program keusahawanan termasuk latihan untuk melahirkan golongan yang mahir dalam penghasilan kraf seperti batik, songket dan ukiran kayu. Usaha yang dijalankan ini bukan sahaja meningkatkan kebolehan usahawan Negeri, malah ia juga dapat menjaga seni dan warisan Kraf Tradisional Negeri Terengganu.

137. Daripada program-program yang dijalankan, Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu mensasarkan seramai 10 Usahawan Berprestasi Tinggi dapat dilahirkan setiap tahun.

138. Fokus juga akan diberi untuk membantu pengembangan kegiatan ekonomi di desa yang rata-rata digerakkan oleh golongan B40. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi pembinaan Rumah Kedai di kawasan Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) yang telah dikenal pasti iaitu, di kawasan Merchang dan Binjai Rendah, Marang.

139. Kerajaan Negeri turut peka akan nasib rakyat Terengganu yang diberhentikan kerja dan memandang permasalahan ini dengan serius. Kerajaan melalui TESDEC akan menawarkan Program Skim Latihan Semula kepada kumpulan sasar ini untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran industri seperti kimpalan, juruselam komersial ADAS dan sebagainya.


 

Contact Form

Name

Email *

Message *