Selamat Datang Ke Laman Sesawang Bajet Terengganu 2017


PELANCONGAN



Petikan Pembentangan Bajet Terengganu 2017 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Haji Ahmad Razif Abd Rahman :

Sektor Pelancongan

Kita perlu terus Bersama Melangkah ke Hadapan.

47. Kebergantungan besar kita ke atas hasil minyak dan gas adalah sesuatu yang tidak mampan atau sustainable (dengan izin).

48. Industri pelancongan merupakan industri kedua terpenting selepas industri minyak dan gas. Potensi industri ini untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri sangat besar. Ianya turut berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelbagai aktiviti rantaian seperti perniagaan, perusahaan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan.


49. Sehingga Ogos 2016, seramai 3.63 juta pelancong telah berkunjung ke Terengganu. Kerajaan Negeri yakin, pada akhir tahun ini, bilangan pelancong akan melebihi angka 4.7 juta sepertimana yang telah direkodkan pada tahun 2015.

50. Bagi lebih menzahirkan potensi industri pelancongan untuk menyumbang kepada kebaikan rakyat dan kemajuan Negeri, tahun 2017 telah ditetapkan sebagai Tahun Melawat Terengganu (TMT 2017) atau Visit Beautiful Terengganu (dengan izin).


51. Dalam usaha Kerajaan menyeragamkan usaha galakan pelancongan, 4 kluster produk dan destinasi telah dibentuk:

Kluster Pertama :
Pantai & Pulau
Kluster Kedua :
Tasik Kenyir
Kluster Ketiga :
Bandaraya Warisan Pesisir Air Kuala Terengganu
Kluster Keempat :
Lain-Lain Produk termasuk Seni & Budaya, Sejarah Warisan dan Destinasi berkonsepkan Eco, Nature & Adventure (dengan izin).

52. Kejayaan penganjuran Pesona Terengganu 2015 telah diteruskan dengan penganjuran Beautiful Terengganu 2016 (dengan izin). Kerajaan Negeri telah melancarkan Visit Beautiful Terengganu (dengan izin) di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 23-27 Mac 2016, dan di Expo Hall Changi,

Singapura pada 11-15 Ogos 2016. Di Johor Bahru, jualan T-Kitchen mencecah RM2 juta. Syabas dan tahniah diucapkan. Walau bagaimanapun, pulangan yang diterima bukan sahaja dalam bentuk nilaian wang ringgit malah juga dari segi keberadaan dan sebagai satu strategi pemasaran.

53. Kejayaan Visit Beautiful Terengganu (dengan izin) menunjukkan kepada kita, bahawa promosi berterusan dan lebih giat amat perlu dalam merancakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu. Bertepatan dengan TMT 2017, sebanyak RM80 juta akan diperuntukkan untuk Sektor Pelancongan.

54. Bagi menjayakan TMT 2017, Kerajaan dengan ini mengumumkan 15 touch points (dengan izin) Sektor Pelancongan untuk dilaksanakan dalam Bajet 2017 sepertimana berikut:

55. Pertama - Memperkasa Pusat Penerangan Pelancongan sedia ada dan membuka Kiosk Penerangan Pelancongan di setiap Daerah.
Dalam usaha Kerajaan Negeri memastikan ketelusan dan capaian maklumat pelancongan kepada pelancong, pusat-pusat maklumat pelancongan sedia ada akan diperkasakan. Buat masa ini, telah wujud tiga Pusat Penerangan Pelancongan yang menyebarkan maklumat produk dan destinasi pelancongan Negeri iaitu di Bukit Puteri, Kuala Terengganu, di Geliga, Kemaman dan di Kuala Besut, Besut.

56. Kerajaan Negeri bercadang untuk memperluaskan skop penyebaran maklumat ke setiap daerah dalam usaha memberi kemudahan maksimum kepada pelancong. Pusat Penerangan Pelancongan Daerah akan dibuka di premis-premis sedia ada dan perlu diselaraskan dengan Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Daerah serta Jawatankuasa Pelancongan Daerah.


57. Kedua - Mewujudkan Mercu Tanda yang mempunyai nilai sejarah atau keunikan untuk Pelancongan di setiap daerah.

58. Ketiga - Menyediakan tempat khusus untuk Food Truck (dengan izin) .

Menyedari potensi besar industri Food Truck (dengan izin) di Terengganu dalam menyokong perkembangan aktiviti pelancongan, Kerajaan akan memperuntukkan RM200 ribu untuk membangunkan lokasi khusus Food Truck (dengan izin) di setiap daerah. Lokasi ini akan disediakan dengan kemudahan elektrik, air dan tandas awam. Dua lokasi yang telah dikenal pasti untuk projek perintis adalah di Pulau Warisan dan di Taman Shahbandar, Kuala Terengganu.

59. Keempat - Kempen Kebersihan dan Kesedaran untuk Menjaga Harta Awam.


60. Kelima – Memberi bantuan Kemeja Korporat atau Baju promosi sempena TMT 2017.

Bersempena TMT 2017, Kerajaan akan mengagihkan kemeja atau baju rasmi TMT 2017 kepada frontliners (dengan izin) industri pelancongan. Sebanyak 1,146 helai Kemeja Korporat TMT 2017 akan diperuntukkan kepada 523 orang pemandu teksi aktif serta kepada 50 orang pemandu bas henti-henti Terengganu. Manakala, sejumlah 144 baju dan topi TMT 2017 pula diperuntukkan kepada 52 orang penarik beca dan 20 orang pengusaha bot penambang.

61. Keenam - Bantuan One-Off (dengan izin) kepada Penarik Beca & Pengusaha Bot Penambang untuk tujuan hiasan pengangkutan.

Beca dan bot penambang merupakan salah satu daripada pengangkutan tradisional yang menjadi budaya dan warisan masyarakat tempatan. Pengangkutan ini sering mendapat permintaan daripada pelancong yang ingin mengalami keseronokan menaiki beca bagi mengunjungi tempat-tempat menarik yang berhampiran. Ada juga yang memilih untuk menaiki bot penambang dengan menyusuri Sungai Terengganu semata – mata untuk menikmati keindahan alam semulajadi dan kehidupan masyarakat setempat.

Bagi memberikan nafas baharu kepada beca dan bot penambang sebagai instrumen pengangkutan rekreasi, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memperuntukkan RM50 ribu untuk manfaat 72 Penarik Beca dan Pengusaha Bot Penambang. Bantuan One-Off (dengan izin) ini adalah sehingga RM500 untuk Penarik Beca dan sehingga RM1,000 untuk Pengusaha Bot Penambang dan hendaklah digunakan untuk kerja – kerja menghias sahaja.

62. Ketujuh - Bantuan Penyelenggaraan Bot & Jaket Keselamatan dengan Logo TMT 2017 di Tasik Kenyir.

Tasik Kenyir merupakan destinasi eko pelancongan yang semakin mendapat tempat di hati pengunjung dalam dan luar negara. Penggunaan bot dengan kelengkapan yang mempunyai ciri – ciri keselamatan adalah penting, bukan sahaja dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke lokasi-lokasi menarik sekitar Tasik Kenyir malah mempertingkatkan keyakinan pelancong.

Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM225 ribu bagi membekalkan 1,500 Jaket Keselamatan dengan logo TMT 2017 kepada lebih kurang 300 pengusaha bot tempatan yang aktif di Tasik Kenyir. Usaha ini adalah untuk menonjolkan imej positif pelancongan di samping memberi keyakinan kepada pengunjung di Tasik Kenyir dalam aspek keselamatan.

63. Kelapan - menaiktaraf kawasan - kawasan riadah keluarga dengan menyediakan Outdoor Gym (dengan izin) dan taman-taman permainan.

Agenda menaiktaraf kemudahan di taman-taman rekreasi masih diteruskan. Ianya bertepatan dengan prinsip ketiga TTB iaitu “Keluarga Bahagia”. Dua lokasi Taman Awam (Public Park) (dengan izin) di Terengganu telah dikenal pasti untuk dinaiktaraf kelengkapannya termasuk penyediaan Outdoor Gym (dengan izin), iaitu di Kemaman Waterfront, Chukai dan di Taman Rekreasi Keluarga Pulau Kekabu, Marang. Buat permulaan, RM500 ribu akan diperuntukkan bagi tujuan ini.

64. Kesembilan - Menaiktaraf Rumah Kucing di Pantai Teluk Lipat, Dungun.

Bajet 2017 adalah bajet untuk semua. Semua akan mendapat manfaat. Bukan rakyat sahaja yang bakal dapat manfaat, kucing juga tidak terkecuali. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM150 ribu bagi menaiktaraf dan membiayai kos penyelenggaraan Rumah Kucing di Pantai Teluk Lipat, Dungun yang pada masa ini, mampu menampung 200 ekor kucing pada satu-satu masa. Ini juga diharap dapat menjadi satu tarikan pelancongan serta menjadi galakan kepada pencinta kucing.

65. Kesepuluh - Mengadakan Kursus-Kursus Bahasa Inggeris jangka pendek untuk Frontliners Pelancongan (dengan izin).

Kerajaan Negeri bercadang untuk mengadakan Kursus-Kursus Bahasa Inggeris Perbualan Jangka Pendek kepada pemandu teksi, pengusaha dan pemandu bot pelancongan, pemandu bas Cas Ligas, pengusaha kedai makan, kedai cenderahati dan kakitangan hotel dan resort. Program ini akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU). Kaedah pelaksanaan kursus hendaklah mudah dan tidak membebankan dari segi masa.

66. Kesebelas - Memperkasa Kompleks Sukan Negeri dengan mengadakan pelbagai aktiviti sukan rekreasi seperti Paramotor, Kapal Terbang atau Helikopter Kawalan Jauh

Pelancongan sukan rekreasi adalah salah satu produk pelancongan yang berpotensi di Negeri Terengganu. Di samping itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk meletakkan Negeri Terengganu sebagai venue (dengan izin) pilihan kejohanan sukan rekreasi dan sukan ekstrim, baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa.

Kompleks Sukan Negeri Terengganu akan dijadikan venue (dengan izin) kepada acara-acara sukan rekreasi pelancongan seperti sukan rekreasi paramotor, sukan payung terjun, sukan rekreasi kereta / kapal terbang / helikopter kawalan jauh, kejohanan cabaran drone, auto show dan sprint test (dengan izin) serta lain-lain sukan yang bersesuaian.

67. Kedua Belas - Mempertingkatkan hubungan dua hala Terengganu dengan Bandar Huaxi di China.

Negara China mempunyai potensi besar menyumbang kepada jumlah kehadiran pelancong ke Negeri Terengganu. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan hubungan dua hala Malaysia – China yang semakin kukuh berikutan lawatan kerja Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang sangat berjaya ke negara China baru – baru ini. Justeru Kerajaan Negeri akan berusaha mempertingkatkan hubungan dua hala yang sudah terjalin di antara Negeri Terengganu dengan beberapa bandar utama seperti Huaxi di Negara China.

68. Ketiga belas - Bantuan tayar percuma kepada Pemandu Teksi.

Sempena TMT 2017, jumlah pelancong yang bakal menggunakan kemudahan perkhidmatan teksi dijangka meningkat. Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan bantuan tayar dengan nilaian RM500 kepada semua ahli persatuan teksi tempatan. Bantuan ini adalah untuk ahli
yang aktif sahaja. Seramai 523 orang pemandu teksi akan mendapat manfaat daripada program ini dengan peruntukan sebanyak RM262 ribu.

69. Keempat belas – Membaikpulih rumah-rumah sepanjang Sungai Kuala Terengganu dan memasang Rooftop Lighting (dengan izin) di rumah-rumah yang terlibat dengan Bandaraya Warisan Pesisir Air.

70. Kelima belas – Mewujudkan program Latihan Kemahiran Industri Pelancongan seperti Pemandu Pelancong kepada golongan Belia.

Di samping 15 touch points pelancongan ini (dengan izin), usaha penggalakan promosi dan aktiviti diselaraskan bersama melalui konsep National Blue Ocean Strategy (NBOS) (dengan izin) diantara jabatan-jabatan. Ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos malah menunjukkan kesepakatan dan penyelarasan dalam menjayakan Visit Beautiful Terengganu 2017 (dengan izin). 

 

Contact Form

Name

Email *

Message *