Selamat Datang Ke Laman Sesawang Bajet Terengganu 2017


PENDIDIKAN




Petikan Pembentangan Bajet Terengganu 2017 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Haji Ahmad Razif Abd Rahman :

Sektor Pendidikan

Kita harus terus Bersama Melangkah ke Hadapan.

92. Di kesempatan ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri, ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar UPSR 2016, termasuk para Guru, ibubapa dan kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Walaupun dengan format UPSR yang baharu, Terengganu masih berupaya mengatasi pencapaian peringkat nasional dalam ketiga-tiga kategori iaitu:


 2.95 Gred Purata Negeri berbanding 2.96 Gred Purata Kebangsaan
 Peratus yang mendapat 6A ialah 1.33% di Peringkat Negeri berbanding 1.1% di Peringkat Kebangsaan
 Peratus yang Lulus Semua Mata Pelajaran Negeri ialah 68.36% di Peringkat Negeri berbanding 67.7% di Peringkat Kebangsaan

Syabas dan Tahniah.

Melangkah kehadapan, kita harus mencari formula baharu dan meletakkan tahun 2017 ini sebagai asas kejayaan dalam membina Fasa Kedua Kitaran Kecemerlangan Pendidikan Negeri Terengganu.
Justeru Kerajaan bercadang untuk memberi lebih tumpuan kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains dengan meningkatkan program dan kursus ke arah peningkatan dua mata pelajaran ini melalui peruntukan Program Anjung Ilmu.

93. Selaras dengan prinsip ke lapan TTB iaitu Memperkasa Pendidikan, Kerajaan Negeri akan terus membuat pelaburan yang besar dalam bidang ini. Sebanyak RM42.6 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek dan program pendidikan pada tahun 2017.

Program Khatam Al-Quran Prasekolah

94. Satu keunikan yang terdapat dalam pendidikan prasekolah di Negeri Terengganu ialah kemampuan anak-anak kecil kita untuk khatam Al-Quran di peringkat umur yang kecil. Setiap tahun, lebih 20 ribu anak-anak prasekolah berjaya khatam dan ini sangatlah membanggakan terutamanya buat ibu bapa dan para guru.

95. Kerajaan terus komited dalam menghargai jasa Guru – Guru Pintar Quran. Oleh itu, untuk Bajet 2017, sejumlah RM4.72 juta telah diperuntukkan untuk bayaran elaun bulanan kepada Guru - Guru Pintar Quran yang melibatkan seramai 770 orang.


96. Bagi memperkasa bidang pendidikan prasekolah, dua buah Tadika Yayasan Islam Terengganu baharu akan diwujudkan iaitu di Daerah Besut (Cawangan Jabi) dan Daerah Kuala Terengganu (Cawangan Losong).

97. Bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kanak-kanak di Taska Permata Keluarga kendalian Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), sebanyak RM500 ribu akan diperuntukkan.

Program Anjung Ilmu

98. Bagi memartabatkan Program Anjung Ilmu di Negeri Terengganu pada tahun 2017, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM4 juta. Sebanyak RM2.7 juta diperuntukkan untuk percetakan bahan kecemerlangan pelajar bagi modul UPSR, PT3, SPM dan STPM. Sebanyak RM500 ribu akan disumbangkan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri bagi melaksanakan aktiviti kecemerlangan di peringkat Negeri, daerah dan sekolah termasuklah kelas bimbingan dan tutorial percuma.

Bantuan Persekolahan

99. Bagi meringankan beban para ibubapa terutama mereka yang kurang berkemampuan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meneruskan Bantuan Persekolahan sebanyak RM100 seorang pelajar bagi keluarga yang berpendapatan RM2,500 ke bawah, berbanding RM 2,000 sebelumnya, dengan maksimum 2 orang pelajar setiap keluarga. Sebanyak RM10 juta akan diperuntukkan dan dijangka 100 ribu orang pelajar akan mendapat faedah.

100. Program sumbangan Dana Raya telah banyak memberi manfaat kepada penerima. Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri telah bersetuju supaya syarat kelayakan keluarga yang menerima Dana Raya diperluaskan kepada keluarga yang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah.

Program peningkatan kebolehpasaran graduan

101. Bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan terutama yang menganggur, program Terengganu Graduate Transformation Programme (TGTP) (dengan izin) yang menggantikan program Terengganu Graduate Attachment Scheme (TGAS) (dengan izin), diteruskan. Ini dijangka dapat membantu lepasan diploma dan siswazah untuk membuat persiapan dalam melangkah ke alam pekerjaan. Sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), syarikat-syarikat berkaitan dengan Kerajaan Negeri (SGLC) akan turut dilibatkan bagi menjayakan program ini.

102. Bagi membantu mahasiswa dan bakal graduan menentukan laluan kerjaya, Karnival laluan kerjaya dan program softskills (dengan izin) akan diwujudkan. Buat permulaan, sebanyak RM150 ribu telah diperuntukkan. Karnival ini akan diperluaskan lagi dengan mengadakan roadshow (dengan izin) ke setiap daerah seluruh Negeri Terengganu.


103. Kerajaan juga mengambil berat dan memberi tumpuan terhadap golongan belia yang kurang bernasib baik. Peruntukan sebanyak RM50 ribu akan diberikan untuk latihan kemahiran kepada pelajar-pelajar pendidikan khas atau OKU dalam kursus-kursus kemahiran seperti membaiki motosikal, gunting rambut, bakery (dengan izin) dan lain-lain yang berkaitan melalui kerjasama dengan kolej-kolej kerajaan Negeri seperti TTITC dan TESDEC.

Sumbangan kepada setiap PIBG

104. Menyedari pentingnya institusi PIBG di sekolah–sekolah, Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju untuk meneruskan pemberian bantuan pengurusan dan aktiviti sebanyak RM2 ribu kepada setiap PIBG sekolah. Sumbangan ini melibatkan 505 buah PIBG sekolah seluruh Negeri Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM1.01 juta.

Program TRENGLISH

105. Kerajaan Negeri bercadang untuk mengembangkan lagi Program Transforming English in Terengganu (TRENGLISH) (dengan izin) ke peringkat sekolah-sekolah rendah seluruh Negeri Terengganu. Untuk itu, RM1 juta akan diperuntukkan bagi meningkatkan peratusan kelulusan mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan – peperiksaan awam peringkat rendah dan menengah.


 

Contact Form

Name

Email *

Message *