Selamat Datang Ke Laman Sesawang Bajet Terengganu 2017


PERUMAHAN



Petikan Pembentangan Bajet Terengganu 2017 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Haji Ahmad Razif Abd Rahman :

Sektor Perumahan

Kita perlu terus Bersama Melangkah ke Hadapan.

163. Kerajaan sedar bahawa masalah perumahan merupakan satu agenda yang perlu diberi keutamaan. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah meletakkan Perumahan sebagai salah satu agenda teras untuk tahun 2017. Kerajaan sentiasa komited dan memberi penekanan terhadap penyediaan rumah yang mencukupi, berkualiti dan mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat khasnya golongan B40 dan M40.

164. Dalam Ucapan bajet tahun lepas, Kerajaan telah meletakkan sasaran bagi membina 20,000 unit rumah baharu. Sehingga kini, sebanyak 14,225 unit rumah baharu telah dibina dengan memberi manfaat kepada 56,900 isi rumah yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.


165. Bagi memenuhi sasaran yang dinyatakan, sebanyak 2,389 lagi unit rumah baharu pelbagai kategori telah diluluskan. Pembinaan rumah-rumah ini melibatkan 220 unit rumah mampu milik Negeri di Seri Bandi, Kijal dan 4 projek di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) merangkumi 2,169 unit rumah pelbagai kategori di Tok Jembal (Kuala Nerus), Kertih (Kemaman), Kuala Ping (Hulu Terengganu) dan Santong (Dungun). Keseluruhan projek-projek ini melibatkan kos RM551 juta.

166. Kerajaan Negeri yakin sasaran 20,000 unit rumah baharu akan tercapai dengan adanya beberapa inisiatif baharu yang sedang dirancang untuk dilaksanakan.

167. Di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebanyak 6 projek melibatkan 3,098 unit rumah telah diluluskan, manakala 2 projek lagi melibatkan 1,149 unit rumah sedang dalam proses kelulusan akhir. Di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), sebanyak 3 projek melibatkan 1,233 unit rumah telah diluluskan. Pembinaan rumah di bawah dua program ini adalah dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta. Ini menjadikan keseluruhan jumlah rumah telah dan sedang dibina adalah sebanyak 22,094 unit.

168. Insya-Allah sasaran 20,000 rumah ini akan tercapai sepenuhnya dengan pembinaan rumah-rumah tersebut pada tahun 2017.

169. Melangkah ke hadapan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk mensasarkan tambahan pembinaan 20,000 unit rumah lagi sehingga tahun 2020.

170. Dalam hal pemilikan rumah, Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan nasib golongan berpendapatan rendah. Bagi memudahkan urusan pembinaan dan pemilikan rumah ini, satu kaedah pembinaan samada melalui konsep gotong-royong atau NBOS akan diperkenalkan. Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM64 juta iaitu RM2 juta bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diperuntukkan.

171. Bagi mengatasi masalah ketirisan dalam pelaksanaan pembinaan rumah secara penswastaan untuk kuota rumah mampu milik, Kerajaan Negeri akan mewujudkan satu tabung yang dikenali sebagai Tabung Perumahan Mampu Milik. Tabung ini akan mengumpulkan dana daripada pemaju swasta yang telah diberi kelulusan untuk membina rumah-rumah di bawah konsep penswastaan. Kerajaan sendiri akan memastikan rumah mampu milik dibina dengan menggunakan dana yang disumbang kepada tabung ini.

172. Satu lagi inisiatif untuk memenuhi keperluan perumahan di kalangan rakyat ialah dengan memperkenalkan kaedah pemilikan rumah secara konsep sewa dahulu. Selepas satu tempoh tertentu, sewa ini akan dijadikan deposit bagi memiliki rumah-rumah tersebut. Sewaan peringkat awal dan bayaran pemilikan rumah bulanan dijangka diantara RM250-RM300. Walau bagaimanapun satu ketetapan khusus akan diperincikan bagi tujuan itu.

173. Pemilikan Rumah Mampu Milik juga diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri bagi memberi peluang kepada golongan pendapatan rendah. Oleh itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaikkan kelayakan pemohon daripada pendapatan isi rumah RM3,000 kepada RM3,500. Bagi tujuan itu, bermula pada hari ini, permohonan Rumah Mampu Milik dibuka semula berdasarkan ketetapan terbaharu.


 

Contact Form

Name

Email *

Message *