Selamat Datang Ke Laman Sesawang Bajet Terengganu 2017


INFRASTRUKTUR & KEMUDAHAN AWAM






Petikan Pembentangan Bajet Terengganu 2017 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Haji Ahmad Razif Abd Rahman :

Infrastruktur dan Kemudahan Awam

140. Prasarana yang lebih baik dapat membantu meningkatkan kemudahan serta taraf hidup rakyat. Tumpuan utama akan diberi kepada pembangunan infrastruktur di luar bandar dengan mengambil kira isu-isu berkaitan bekalan elektrik, bekalan air bersih dan juga program ameniti sosial.

141. Selain daripada peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Pusat melalui Kementerian, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi projek-projek kecil di bawah Majlis Perundingan Rakyat yang disalurkan melalui Pejabat-Pejabat Daerah.


142. Menyedari kepentingan projek menaiktaraf sistem jaringan jalanraya, Kerajaan Negeri akan meneruskan lagi beberapa projek sambungan dan projek baharu bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya. Dengan pembukaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ia dijangka akan mendatangkan kesan langsung terhadap ekonomi Negeri. Rangkaian lebuhraya yang baik akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri dan penempatan-penempatan baharu.

143. Kerajaan juga akan meneruskan kerja menaiktaraf laluan FT3 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan daripada dua lorong kepada empat lorong di Daerah Marang dan Kemaman. RM118.2 juta akan diperuntukkan bagi tujuan ini.

144. Dalam menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di Kuala Terengganu khasnya, 2 buah jambatan akan mula beroperasi pada tahun 2017 iaitu Jambatan Pulau Sekati dan Jambatan Angkat. Jalan bertingkat di persimpangan Jambatan Sultan Mahmud pula akan mula dibuka pada tahun hadapan. Ini akan mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat akibat kesesakan sewaktu menyeberangi Sungai Terengganu terutama apabila pergi dan balik dari kerja. Malah trafik juga dijangka lancar menjelang musim cuti sekolah atau perayaan.

145. Selain daripada membina jalan-jalan perhubungan desa, keperluan pencahayaan bagi lampu-lampu jalan kampung juga akan diselaraskan dari segi bilangan mengikut kesesuaian lokasi yang dicadangkan.

Bekalan Air Negeri Terengganu

146. Kerajaan Negeri Terengganu amat menitikberatkan pembangunan bekalan air bersih di Negeri Terengganu. Tujuan utama adalah bagi menjamin bekalan air bersih kepada rakyat secara berterusan di samping memenuhi tuntutan industri yang semakin berkembang. Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM38 juta untuk pembangunan bekalan air dan program pengurangan Non Revenue Water (NRW) (dengan izin).

147. Bagi mempertingkatkan pengurusan dan mengelakkan kemungkinan berlakunya masalah bekalan air menjelang 2020, dua buah loji rawatan air akan dibina di Pulau Bahagia, Kuala Terengganu dan di Bukit Berapit, Kuala Nerus yang memakan belanja RM797 juta. Satu lagi loji rawatan air iaitu di Bukit Sah, Kemaman akan dinaiktaraf dengan melibatkan kos sebanyak RM499 juta. Ketiga – tiga projek ini akan dibiayai dengan kaedah pembayaran secara tertangguh (deferred payment) (dengan izin). Loji rawatan air di Pulau Bahagia akan menggunakan teknologi „membrane‟ iaitu teknologi terkini dalam industri rawatan air. Projek ini akan memberi impak yang besar kepada lebih 400 ribu rakyat di tiga (3) buah daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus.

Mengatasi Masalah Banjir

148. Banjir adalah suatu musibah yang kesannya boleh dikawal melalui perancangan yang baik. Inilah yang berlaku di Kemaman, apabila sistem pengurusan banjirnya telah dinobatkan sebagai mencapai Gold Standard (dengan izin) oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Malah prosedur operasi standard (SOP) banjir di Kemaman diiktiraf antarabangsa apabila dibentangkan dalam satu persidangan peringkat dunia. Syabas Kemaman.

149. Sebagai satu usaha berterusan menangani masalah banjir, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM35.9 juta untuk:
 Projek Tebatan Banjir Baruh Tok Jiring
 Sistem Saliran di Gong Pasir Dungun
 Sistem Saliran di Sungai Buaya dan Sungai Seluang

Projek Penyusunan Semula Pembangunan Muara Sungai Terengganu

150. Bagi mengekalkan status Bandaraya Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Pesisir Air, Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan projek penyusunan semula pembangunan muara Sungai Terengganu. Diantara komponen yang terlibat adalah mendalam serta membetulkan semula laluan keluar masuk bot – bot nelayan, menyediakan kemudahan infrastruktur asas kepada penduduk di Pulau Duyong serta kawasan sekitar pesisir sungai.

151. Pelaksanaan projek ini akan memakan masa lebih kurang 3 tahun dengan kos pembangunan keseluruhan sebanyak RM70 juta.

Membudayakan Teknologi Hijau Dan Melestarikan Alam Sekitar

152. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar akan memperkasakan Industri Hijau yang lebih memfokuskan kepada pematuhan Amalan Hijau dikalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pembangunan dan pengeluaran industri yang tidak menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar dan tidak menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan manusia akan diberi penekanan.

153. Selain itu, kempen kitar semula akan diperluaskan ke seluruh pelosok Negeri Terengganu melalui Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) dengan agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan-badan berkanun serta agensi-agensi swasta.

154. Satu inisiatif Kerajaan Negeri ialah Program Kitar Semula sisa buangan domestik (waste to wealth) (dengan izin)Bayangkan sisa buangan yang terkumpul di Kuala Terengganu sahaja dianggarkan 50 tan sehari. Dan angka ini dijangka meningkat berdasarkan unjuran bertambahnya bilangan penduduk. Program ini dijangka akan menyelesaikan masalah sisa buangan dengan memproses sisa tersebut kepada tenaga. Ianya akan melibatkan inisiatif pihak swasta dengan menggunakan teknologi daripada Negara Denmark. Kos dijangka melebihi RM200 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta.

155. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. RM17.2 juta akan diperuntukkan untuk penambahbaikan bekalan elektrik dan pembekalan baru ke 2 buah pulau tersebut bagi manfaat dan keselesaan para penduduk.

156. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menjadikan Negeri Terengganu sebagai sebuah Negeri yang bersih dan indah. Justeru, program-program kebersihan dan keindahan di seluruh PBT akan dipertingkatkan. Untuk itu, sebanyak RM67 juta akan diperuntukkan bagi menjalankan kerja – kerja kebersihan di seluruh kawasan PBT.

157. Bagi memastikan sistem aliran longkang berada dalam keadaan baik. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta untuk kerja penyelenggaraan dan pembinaan longkang baharu.

158. Sebagai salah satu daya tarikan baharu untuk Bandaraya Kuala Terengganu, Medan PMINT (PMINT Square) akan mula beroperasi pada tahun 2017. Medan PMINT ini mempunyai 8 komponen iaitu Kompleks PB Plaza, PB Square, PB Sentral, Menara PMINT, Wisma PMINT, Terminal Bas Bandar, Medan Selera dan Dataran PMINT.

159. Selain daripada pusat membeli-belah, Menara Pejabat LHDN dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang telah beroperasi di Kompleks PB Square, sebuah Menara Hotel yang mempunyai 200 bilik juga akan mula dibuka pada awal tahun 2017. Ini akan diikuti dengan pembukaan kompleks membeli-belah PB Plaza dan Pusat Rekreasi Keluarga di Kompleks PB Sentral. PB Plaza akan menawarkan pusat membeli-belah The Store, MARA Digital Mall dan Youth Centre (UTC) manakala 11 unit Cineplex, 36 lorong bowling, ruang niaga dan tempat letak kereta bertingkat akan beroperasi di PB Sentral.

Sistem Pengangkutan Awam Yang Efisien

160. Tahun 2017 merupakan Tahun Melawat Terengganu. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri bercadang untuk melakukan penstrukturan semula sistem pengangkutan awam di Negeri ini. Terminal Bas MBKT akan dinaiktaraf terutamanya dari segi struktur bangunan dan lot-lot komersial yang sedia ada bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan memberikan keselesaan kepada orang awam.


161. Perkhidmatan bas henti-henti akan ditambahbaik dengan pelaksanaan "My Bus" (dengan izin) di bawah Skim Transformasi Bas Henti-henti (SBST) melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan Darat (SPAD). Skim ini dijangka akan mula beroperasi pertengahan tahun 2017 melibatkan 14 laluan dan 27 buah bas. Kerajaan Negeri akan memastikan agar rangkaian laluan bas melalui jalan-jalan utama dan jalan-jalan perantaraan bagi menghubungkan kawasan-kawasan yang berpenduduk dan meliputi kawasan bandar dan luar bandar dengan kadar harga tambang yang berpatutan.

162. Sempena Tahun Melawat Terengganu 2017, perkhidmatan bas bandar yang disediakan oleh Cas Ligas Sdn. Bhd akan berwajah baharu. Bermula daripada Hentian Shahbandar, bas tersebut akan melalui destinasi-destinasi pelancongan yang ada khususnya di Bandaraya Kuala Terengganu sehinggalah ke Taman Tamadun Islam (TTI).




 

Contact Form

Name

Email *

Message *