Selamat Datang Ke Laman Sesawang Bajet Terengganu 2017


KELUARGA & MASYARAKAT




Petikan Pembentangan Bajet Terengganu 2017 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Haji Ahmad Razif Abd Rahman :

Pembangunan Keluarga dan Masyarakat

106. Anak-anak adalah permata hati dan penyejuk jiwa. Kelahiran mereka sentiasa dinanti dengan penuh debaran oleh ibu bapa. Bagi meraikan kelahiran orang baharu dan sebagai tanda cakna dan kasih kita kepada generasi masa hadapan, Kerajaan memperuntukkan RM1 juta kepada Program Saguhati Kelahiran Anak Terengganu dengan sumbangan diberi dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau SSPN-i. Ini dapat menggalakkan tabungan pembelajaran bermula seawal usia kelahiran.  Dijangka seramai 26 ribu bayi akan mendapat faedah daripada sumbangan ini.


107. Kerajaan juga bersetuju memperuntukkan RM1.2 juta bagi menjayakan Program Pasca Perkahwinan, Program Second Honeymoon (dengan izin), Program Semarak Kasih, dan Forum Perdana Cakna Keluarga. Dijangkakan seramai 4 ribu pasangan akan mendapat manfaat daripada program – program ini.

108. Program Home Manager (dengan izin) atau Pengurus Kediaman yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri telah mendapat maklumbalas yang sangat baik malah terbukti berkesan untuk peserta dan majikan. Justeru, Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi meneruskan program Home Manager (dengan izin) yang bakal memberi peluang pekerjaan kepada 150 orang Pengurus Kediaman.

109. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Taubah, ayat 18 yang bermaksud:

“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut kepada siapapun selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

110. Amalan solat secara berjemaah adalah satu keutamaan dalam Agama. Kerajaan sedar, hiburan yang terlalu banyak dan melampau akan melekakan dan membawa natijah buruk kepada rakyat. Kerajaan bercadang untuk meneruskan aktiviti-aktiviti pengukuhan insaniah terutamanya yang berpaksikan Masjid, sesuai dengan prinsip kedua TTB iaitu Masjid dan Surau sebagai Sumber Penyatuan.

111. Kerajaan Negeri mencadangkan supaya Program Solat Subuh Berjemaah sedia ada diperkasa dan turut dikembangkan juga kepada Solat Sunat Dhuha. Kerajaan bercadang untuk mengintegrasikan kempen solat ini dengan program-program pelancongan atau sukan bagi memeriahkan program ini. RM200 ribu diperuntukkan untuk urusan promosi Kempen Solat Subuh Berjemaah dan Solat Sunat Dhuha.

112. Jumlah masjid yang ada di Negeri Terengganu haruslah mencukupi dan yang penting, diselenggara dengan sebaiknya. Untuk itu, RM16 juta akan diperuntukkan melalui Bajet kali ini bagi pembinaan tujuh buah Masjid iaitu di Dungun, Kemaman, Marang, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

Meningkatkan Pengupayaan J3K

113. J3K adalah jentera Kerajaan yang paling rapat dengan rakyat. Bagi meningkatkan keupayaan J3K dalam melaksanakan urusan pengurusan dan pentadbiran di kawasan masing – masing, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meluluskan bantuan pengurusan secara one-off (dengan izin) sebanyak RM5 ribu kepada setiap 991 J3K di Terengganu. Bantuan one-off ini (dengan izin) akan disalurkan pada tahun ini juga.



 

Contact Form

Name

Email *

Message *