Selamat Datang Ke Laman Sesawang Bajet Terengganu 2017


PERTANIAN


Petikan Pembentangan Bajet Terengganu 2017 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Haji Ahmad Razif Abd Rahman :

Sektor Pertanian dan Perikanan

71. Keupayaan sektor pertanian sentiasa dipertingkatkan kerana sektor ini merupakan sumber makanan disamping menjadi punca pendapatan golongan yang terlibat. Sebanyak RM4.65 juta akan diperuntukkan melalui Bajet 2017 untuk program dan projek berbentuk „People Centric‟ (dengan izin) dengan impak terus kepada golongan sasar.

72. Projek Melon Manis Terengganu

Sehingga Oktober 2016, Melon Manis Terengganu telah melahirkan 36 orang pengusaha dengan jumlah pengeluaran hampir 500 ribu kilogram, bersamaan dengan nilaian RM2 juta. Melihat kepada angka yang begitu memberangsangkan, Kerajaan bercadang untuk melahirkan 14 pengusaha lagi bagi meningkatkan pengeluaran Melon Manis Terengganu ini.RM200 ribu akan diperuntukkan bagi tujuan ini terutamanya bagi menampung kos infrastruktur berkaitan.

73. Pembinaan Unjam dan Tukun Tiruan

Aktiviti pencerobohan pukat tunda ke dalam kawasan menangkap ikan nelayan tradisional (Zon A) iaitu kurang 5 batu nautika, telah menyebabkan kerugian besar kepada nelayan tradisional. Peralatan menangkap ikan menjadi rosak, ekosistem musnah dan habitat marin serta sumber perikanan marin merosot.Kerajaan dengan ini memperuntukkan RM250 ribu bagi pembinaan tukun penghalang pukat tunda yang dapat dimanfaatkan oleh 2,341 orang nelayan tradisional.

74. Madu Lebah dan Madu Kelulut boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada petani dan pengusaha. Harganya boleh mencecah sehingga RM200 sekilogram. Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menggalakkan Program Penternakan Madu sebagai sumber pendapatan.Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk menjadikan Terengganu sebagai Hab Madu Lebah & Kelulut.

75. Berdasarkan Program Madu Ole-Ole Terengganu, kita telah mencatatkan nilai pengeluaran melebihi RM1 juta setakat Oktober 2016. Ianya satu jumlah yang sangat memberangsangkan. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM500 ribu bagi membekalkan peralatan seperti sarang dan kelengkapan berkaitan. Semoga ini dapat meningkatkan lagi pendapatan pengusaha madu lebah dan kelulut serta menggalakkan rakyat makan madu yang juga merupakan makanan Sunnah.

76. Pada 12 Ogos 2016, Kerajaan secara NBOS dengan Persatuan Penternak telah mewujudkan sebuah Pasar Ternakan di Manir. Dalam masa hanya 3 bulan, urusniaga yang dicatatkan mencecah hampir RM266 ribu. Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, sebanyak RM70 ribu akan diperuntukkan bagi memperluaskan pasar ternakan ini ke Kemaman dan Besut.

77. Pelaksanaan Program Akuapolitan Kuala Nerus (AKN) di Seberang Pak Abu, Seberang Takir oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merupakan program pembasmian kemiskinan pertama di Malaysia yang berkonsepkan „Felda Laut‟. Ianya menekankan aspek integrasi dan penguasaan rantaian nilai oleh komuniti nelayan. Umumnya, 90 peratus daripada peserta terdiri daripada komuniti pesisir pantai yang terbabit dalam industri penangkapan ikan dan perusahaan yang berkaitan. Mereka merupakan kumpulan B40 dengan pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM3,050. Projek ini dijangka dapat meningkatkan kegiatan ekonomi seterusnya membantu dan mengubah nasib nelayan di Terengganu.




 

Contact Form

Name

Email *

Message *