Selamat Datang Ke Laman Sesawang Bajet Terengganu 2017


TETP


Petikan Pembentangan Bajet Terengganu 2017 oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Haji Ahmad Razif Abd Rahman :

Pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi Terengganu (TETP)

78. Kita harus terus Bersama Melangkah ke Hadapan. Namun melangkah ke hadapan tanpa sebarang perancangan hanyalah omongan kosong semata – mata.

79. Sewaktu pembentangan Ucapan Bajet 2016, saya telah menyebut tentang Program Transformasi Ekonomi Terengganu atau TETP. Tiga perkara ingin saya sentuh semula.

80. TETP telah mengenalpasti 5 sektor teras iaitu Pertama, Sektor Pembuatan, Minyak dan Gas; Kedua, Sektor Bioteknologi; Ketiga, Sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana atau SME; Keempat Sektor Komunikasi, Kandungan dan Maklumat (CCI) & Teknologi Baharu dan Kelima, Sektor Pelancongan.


81. Kedua, saya juga telah memaklumkan bahawa objektif MEN-T adalah untuk mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan ekonomi semasa dan juga untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Terengganu ke satu tahap yang lebih hebat.

82. Dalam konteks suasana ekonomi global yang muram, kita harus sentiasa melihat ke hadapan, menghidu peluang yang ada dan bukan melihat pada halangan yang dicipta.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua

83. Saya bukan pakar ekonomi, tetapi sebagai pemimpin Negeri Terengganu, saya mahu lihat Terengganu menjadi sebuah Negeri yang ekonominya makmur dan berkat, rakyatnya tersohor dan hebat, budaya hidupnya menjadi contoh teladan sejagat.


84. Untuk itu, keutamaan harus diberi ke arah mewujudkan peluang – peluang pekerjaan dan menyediakan program perumahan. Kesan langsung sebarang perancangan kita harus menjurus ke arah ini, kerana ini yang rakyat mahu.

85. Kita juga harus mencari sumber baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas. 85% daripada pendapatan Negeri datangnya melalui sumber minyak dan gas. Dari segi jangka panjang, tentu sekali ianya tidak mampan atau sustainable. (dengan izin).

86. TETP sebagai satu perancangan transformasi ekonomi jangka sederhana, dilihat mampu merubah lanskap ekonomi Negeri Terengganu. Ianya untuk masa hadapan kita bersama dan perancangan ini hendaklah dipastikan berjaya.


87. Ketiga, TETP dirangka bagi mencapai 3 indikator berikut:
i. Meningkatkan KDNK dari RM26.5 bilion kepada RM41.5 bilion.
ii. Meningkatkan pertumbuhan KDNK dari 4.4% kepada 8%.
iii. Meningkatkan pendapatan purata isi rumah daripada RM4,816 sebulan

kepada RM8,000 sebulan.
88. Hari ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa daripada 71 projek yang dikenal pasti, 13 projek telah dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

89. 13 projek tersebut ataupun „Low Hanging Fruits‟ (dengan izin) adalah seperti berikut :


1. Dalam Sektor Bioteknologi, Projek Makanan Ternakan Hibrid di Setiu. Pelaburan swasta bernilai RM27 juta, bakal mewujudkan 895 peluang pekerjaan.

2. Dalam Sektor Pembuatan, Projek Aviation Maintenance, Repair & Overhaul (MRO).(dengan izin). Pelaburan swasta bernilai RM229 juta. 600 peluang pekerjaan.

3. Membangunkan perkhidmatan hab kargo udara serantau di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Pelaburan swasta bernilai RM165 juta. 895 peluang pekerjaan.

4. Dalam Sektor PKS, Projek Pusat Perniagaan Halal, Pusat Membeli Belah, Pusat Konvensyen dan Hotel di Kuala Nerus. Pelaburan swasta bernilai RM275 juta. 1,000 peluang pekerjaan.


5. Dalam Sektor Teknologi Baharu, Projek Pengurusan Sisa Pepejal Perbandaran Menggunakan Kaedah Mesra Alam. Pelaburan swasta bernilai RM240 juta. 100 peluang pekerjaan.

6. Dalam Sektor Pelancongan, Projek Pembinaan Hotel Butik (Movenpick) di Kuala Terengganu. Pelaburan swasta bernilai RM400 juta. 200 peluang pekerjaan.

7. Dalam Sektor Pelancongan, Projek Menaiktaraf Hotel Primula di Kuala Terengganu. Pelaburan swasta bernilai RM224 juta. 360 peluang pekerjaan.

8. Dalam Sektor Bioteknologi, Projek Pembangunan Kertih Bio Polymer (KBP) Fasa 3. Taman Biopolimer Kerteh. Pelaburan ECER bernilai RM3.2 bilion dan 2,653 peluang pekerjaan.


9. Dalam Sektor Bioteknologi, Projek Pengeluaran Bio-Methane dari Tandan Kelapa Sawit. Pelaburan TDM Berhad bernilai RM13.7 juta.

10. Dalam Sektor Bioteknologi, Projek Pengeluaran Baja–Bio dari Tandan Kelapa Sawit di Kemaman dan Sungai Tong. Pelaburan swasta bernilai RM28 juta. 55 peluang pekerjaan.

11. Dalam Sektor Bioteknologi, Projek Pengeluaran Minyak Pelincir Bio-Sintetik berasaskan minyak kelapa sawit. Pelaburan swasta bernilai RM840 juta. 232 peluang pekerjaan.

12. Dalam Sektor Bioteknologi, Projek Pengeluaran Bio L-Methionine dari Bahan Mentah yang dikitar semula. Pelaburan swasta bernilai RM2 bilion. 533 peluang pekerjaan.


13. Dalam Sektor Pembuatan, Projek Pembuatan Sarung Tangan Getah NBR di Kemaman. Pelaburan swasta bernilai RM970 juta. 4,000 peluang pekerjaan.

90. Projek-projek ini akan melibatkan pelaburan berjumlah RM3.5 bilion tidak termasuk 2 projek iaitu Projek Pembangunan Kertih Biopolymer dan juga Projek Pengeluaran Bio L-Methionine yang mana telah pun bermula pada tahun ini. Keseluruhan projek ini dijangka dapat menyediakan 6,795 peluang pekerjaan untuk rakyat Negeri Terengganu.

91. Kerajaan Negeri amat berharap agar kita semua dapat sama-sama menjayakan apa yang dirancang. Limpahan ekonomi yang bakal kita rasai dijangka besar. Rakyat akan dapat peluang pekerjaan, peluang berniaga, lebih ramai pengunjung dijangka datang ke Terengganu untuk melancong mahupun berurusniaga. Kedai – kedai makan, hotel dan homestay (dengan izin) serta perkhidmatan teksi dan kereta sewa, peniaga runcit, penyedia perkhidmatan am, semuanya diharap akan menerima limpahan nikmat daripada kemajuan ekonomi hasil pelaksanaan projek – projek di bawah TETP ini.



 

Contact Form

Name

Email *

Message *